# Lupa Punya Pasal

"Haaa... banyaknya," tiba-tiba terletus satu suara.

"Ye lah, ada apa nih?" balas suara lain.

"Siap ada polis jaga traffic," adu suara pertama.

    Walaupun kenderaan beroda dua semakin sudah tiada kelajuannya namun pemikiran tetap laju mencerna suasana. Beberapa kanvas putih, deretan kereta tersusun rapi di parking, beberapa kenderaan mewah serta peronda menjadi 1001 tanda tanya. Kelihatan puluhan manusia segak berpakaian Baju Melayu, jubah, baju kurung & seumpamanya di luar Masjid Raja Fisabilillah & dewan utama. Sungguh keliru.

    Saat mendengar suara mc di speaker masjid membacakan doa, rahang kami bagai hendak terjatuh. Kelu lidah sambil memandang satu sama lain. 

"Hari ni kan Sambutan Nuzul Quran!!" serentak bersuara menghilangkan rasa segan & bersalah yang kian menggigit tangkai jiwa. Meneliti penampilan seorang demi seorang berbanding kami. Logiklah ramai orang rupanya ada sambutan di masjid. Tradisi di Malaysia setiap kali tiba peristiwa-peristiwa penting dalam kalendar Hijriyyah. 

Terlupa punya pasal, habis serbu darah ke muka sebal.


**************************

Beberapa jam sebelum....


Cuaca petang redup dihias kicauan beburung yang terbang bebas di langit biru. Udara nyaman menampar lembut ke wajah. Titisan air hujan di dedaunan kian menghilang bersama sang mentari. Ufuk barat tampak kemerah-merahan diwarnai cahaya yang semakin sirna. 

    Kalam maathurat terdengar sayup dari arah salah sebuah bilik utama di kondominium 15 tingkat. Zikir yang di susun oleh Hassan Al-Banna punya daya pendinding diri yang ampuh. Terselit makna & doa di setiap bait ayat suci. Meninjau perumahan serba moden di bandar kecil itu, rata-ratanya dipenuhi wajah selain warga Malaysia. Seakan terlihat suasana luar negara kerana hanya minoriti sahaja penduduk asal berbanding di Putrajaya. 

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.." [Hujurat: 13]

    Geseran tayar motor menerbangkan debu-debu halus di jalanan. Rancangan yang sudah lama diimpikan bersama rakan sekerja  untuk iftar di masjid bakal tertunai sebentar lagi. Bazar ramadhan berhampiran Domain menjadi destinasi pilihan untuk membeli juadah berbuka petang Rabu. Seingatnya ini kali pertama & mungkin juga kali terakhir singgah. Aneka kuih-muih, nasi, lauk-pauk & warna-warni minuman memukau rasa. Kecur liur saat melepasi satu-persatu gerai. Namun tangan masih kosong seperti tadi.

    Agaknya sudah menjadi 'tabiat' seorang perempuan membanding-bandingkan harga sebelum kata putus terakhir untuk membeli juadah yang berkenan. Nasiblah kaki dibuli 'tawaf' bazar sepanjang kira-kira 100+- meter itu. Sambil melilaukan mata satu tersemat satu prinsip yang sangat dititikberatkan. Selain pemakanan yang halal, ada satu lagi yang sering dilupakan tayyiba. Maksudnya 'baik' - sama ada untuk kesihatan, cara pembuatan, kebersihan, karekter penjual & sewaktu dengannya. Penting kot sebab hendak makan hasil air tangan orang lain yang bakal menjadi darah daging kita boh.

    Usai shopping satu dua juadah, pantas langkah diatur. Mengejar masa untuk tiba ke destinasi utama. Jam sudah menunjukkan 7.00 malam menandakan masa berbuka semakin tiba. Motor dipecut sedikit laju ke jalan masuk yang menuju ke sebuah bangunan berkubah putih. Setelah selamat memberhentikannya di parking, kepala tertoleh kiri kanan. Menjeling seketika ke pakaian kasual yang biasa dikenakan jika ingin santai - baju t-shirt, seluar longgar, stokin & kasut crop. Pandangan kembali terarah ke sekeliling.


The End 


>>Nota Kaki: Cerita teladan dari teman. Maka, sebelum keluar rumah @ ke mana-mana teliti betul-betul suasana & penampilan. Tersalah gaya, sebal sendiri. Satu lagi, bina ikatan hati dengan masjid terutama jiwa-jiwa muda/di. Sebab padanya ada janji ALLAH iaitu akan dinaung di padang Mahsyar.

Comments

Popular Posts