# Jejak Semalam (Cerpen Ibrah)
Microsoft Word terpapar di skrin monitor Window 7. Jari-jemari sudah lama terhenti dari menaip tugasan sambilan. Kipas syiling di ruangan kerja berpusing ligat. Sesekali rintik hujan di luar jendela tempias masuk mengenai wajah. Sekujur jasad kelihatan bersandar di sebalik geriji besi putih namun fikirannya seolah terbang di curi jejak semalam.
Audio nyanyian sahabat-sahabat yang di hantar lewat group whatsapp dipasang berulang kali. Suara mereka seakan menghantar 1001++ memori kelmarin yang terpatri kukuh di kanvas kenangan. Bagai terimbau kerenah masing-masing yang penuh karekter tersendiri. Tercipta untuk bertemu & saling mengenali [Hujurat: 13]. Suka, merajuk, marah, sedih, geram, gembira, gaduh, baik semula, penat-lelah semuanya bersatu.
“Astaghfirullah..”, Durrah meraup telapak tangan ke muka.
Puas sudah dia cuba menempis galau yang hadir. Mengharu-birukan secarik rasa. Kadang resah itu dari bisikan syaitan. Menjadikan insan kerdil sepertinya asyik terbuai dek kisah silam tanpa membuktikannya dengan tingkah laku & perkataan. Jarang sekali dihubungi teman-temannya di kejauhan.
Entah bagaimana cerita mereka di benua sana. Sihatkah bersama keluarga? Ada masalah atau tengah happy? Sudah kerjakah di kampung halaman? Atau ada yang tanam anggur sambil siapkan STPM a.k.a Sijil Tunggu Pinangan Mai. Oppsss… sensitif.
Usai tamat tahun akhir, dia hanya diam menyepi walaupun di group. Agaknya kalau ada anugerah silent reader mesti dia salah seorang yang tercalon. Pingat gold kot.
“Heeee… tragisnya.”, bisik hati kecil Durrah. Terkoyak sengihan di bibir.
Rata-rata teman seperjuangan dahulu telah tamat pengajian sepertinya. Cuma beberapa kerat sahaja masih menghabiskan semester yang berbaki. Bukan semata mengejar segulung ijazah, namun era modenisasi kini sangat menuntut setiap individu punya pencapaian akademik yang tersendiri.
Zaman kian berubah. Kadang masyarakat memandang kemampuan seseorang hanya melalui pointer atau akademiknya semata walaupun nilai keruntuhan akhlak & adab kian membarah. Meracun semangat & potensi jiwa anak muda yang sedang mencari identiti diri lantaran pilih kasih ini.
Durrah melepaskan nafasnya yang terasa memberat dikerongkong. Langkah diatur ke sebuah almari yang menempatkan koleksi buku catatan, planner & diari terdahulu. Buku glittering silver yang berlabel ‘Percikan Nurani’ ditarik perlahan. Fuh… suci dalam debu. Durrah terbatuk kecik. Diselak helaian yang hampir lusuh tulisannya. Di situlah terselit catitan lama, bingkisan tazkirah, discussion kumpulan, urusan persatuan & timeline bulanannya.
Pernah dia ‘menyorokkan’ diri ke dalam ‘gua’nya lantaran tidak mahu diganggu. Habis segala tugasan yang sepatutnya dipikul dipundaknya terpaksa dipindahkan kepada orang lain. Durrah menggarukan kepala yang tidak gatal. Reaksi sponton psikologi tubuh badan kala resah & serba salah. Hangat terasa seketika walaupun di luar masih gerimis lebat.
“Aahh.. andai dapat diputarkan masa lalu”, tertunduk lemah setiap kali mengingati khilafnya itu.
Kini semuanya berputar laju meninggalkan jejak semalam. Tika masanya, tika saatnya semua terpisah. Tiada lagi escapism bersama, bermain futsal sekali, outing jauh-jauh, berkelah, berpencak silat, ber'abc' serta cendol, tawaf tasik, berbasikal keliling kolej, terjun sungai, berwelfie & …….. sewaktu dengannya. Hanya jalinan hati yang tersimpul dengan izinNYA. Jauh sudah jasad masing-masing berkelana. Jejak semalam bakal bersambung di episode & versi berlainan.
Berangkatlah duhai teman, dalam berat atau ringan kerana kita tidak selamanya bersama. Durrah redha jika takdirnya begini. Faham.. Ya dia sangat faham kini. Tidak semua perlu diungkap & disingkapkan kembali. Cukup saling mengenali, saling membantu & saling menerima. Doa penghubung hati-hati insan. Ukhwah kun fayakun di jejak semalam.
Penyesalan hari ini, persiapan untuk hari esok.
Edited by,
TintaFatayat
@hudazawawipena
@hudazawawipena
@fatayatrichgold
P/s: Mencoret secangkir karya sekadar ibrah tidak terungkap, hanya bersemi di hujung pena. Menyimpul moment sebagai jalinan hikmah di ukhwah kun fayakun.
Comments