# Hanya Dalam Satu Saf

Kisah Lama....
Tinggal Di Lipatan Sejarah....


Kerusi beroda ditolak rapat ke meja kerja kelabu asap. Syafiq membuat senaman ringan bagi merenggangkan sedikit badan yang lenguh menghadap lakaran pembangunan tapak projek baru. Langit cerah tiada tanda-tanda ingin hujan. Jam di dinding menunjukkan 12.30 tengahari. 

   Perut yang mula berkeroncong minta diisi sesegera mungkin. Makanan sarapan pagi terasa cepat terhadam. Mana tidaknya gara-gara ralit memerhatikan matahari pagi terbit dia terlewat untuk bersiap ke pejabat. Akibatnya Syafiq hanya sempat menjamah seteguk air oren masam dan sepotong kek lapis manis. Err… cukup rasa sweet sour. 

Pelik betui perangai abang nih. Suka termenung lama-lama depan rumah”, bising mulut murai adiknya membebel.

Biarlah..”, kata-katanya terhenti di situ apabila melihat pandangan maut kakaknya. 

Alahai, dengan budak kecil pun hendak berlawan kata”.

    Keriut bunyi pintu dibuka mematikan lamunan Syafiq. Dia menggaru kepala yang tidak gatal seakan menutup malu tatkala melihat wajah Azzam terjengul dari luar. Sudah menjadi kebiasaan mereka menaiki kenderaan sama setiap kali tiba Solat Jumaat. Harap sahaja pejabat masing-masing berhampiran namun kesibukan tugasan & urusan yang menjerat membuatkan dua teman baik ini jarang bersua. 

    Perkenalan semenjak di zaman kampus itu terjalin kukuh sehingga kini. Bersua di Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ketika di tahun dua membuatkan mereka mula rapat. Siapa sangka dari lawan mereka menjadi kawan. Bertanding atas ‘tiket’ berbeza memberikan mereka satu pengalaman yang sangat mahal harganya. 

    Kerana di sanalah medan yang dipenuhi bermacam rencah, rencana & kadang resam campur tangan luar. Bukan salah MPP itu, manusia di dalam yang mewarnainya. Ibarat sebuah bilik, penghuninyalah yang menentukan bersih atau sebaliknya keadaan bilik itu. 

    Namun, bangunan berkubah biru yang terletak di tengah-tengah kampus menjadi saksi dua insan berlainan prinsip ini bertemu lagi & lagi. Bersemi jalinan dalam perbahasan demi perbahasan kecil.

Hanya dalam satu saf solat Jumaat!



Aku kata itu,
Kamu jawab ini,
Aku ingin begitu,
Kamu sangkal begini,
Aku harus bagaimana?
Atau kamu itu kenapa?

"Sesiapa yang tidak mengetahui pada sesuatu perkara, akan memusuhinya"


Comments

Popular Posts