# Memahami Fiqh Awlawiyat

Mutakhir ini jarang-jarang kita dapat membuat satu keputusan, melakukan satu pekerjaan dan melaksanakan satu ibadah melainkan pasti berhadapan dengan dua atau lebih keadaan yang saling bertembung dari sudut hukum agama. Pertembungan mungkin berlaku antara yang halal dengan yang haram, antara yang halal dengan yang halal, antara yang haram dengan yang haram dan perkara halal yang hanya dapat diperolehi melalui cara yang haram. 
Tidak ketinggalan, pasti ada yang bercita-cita gemilang demi agama dan manusia. Dalam rangka mencapai cita-cita tersebut, tentu saja seseorang perlu menyusun tindak-tanduknya mengikut tertib kepentingan (prioritize). Justeru apakah panduan yang sepatutnya dia jadikan pedoman untuk menyusun kepentingan tersebut? 

Latar belakang 


Istilah ini terdiri dari dua perkataan. Pertama ialah “Fiqh” yang bermaksud kefahaman. Lazimnya ia dikaitkan dengan hukum, maka dengan itu ia bermaksud kefahaman terhadap sesuatu hukum. Justeru apabila dikatakan “Fiqh Solat”, bererti subjek yang memberi kefahaman kepada hukum, hikmah dan objektif solat dalam suasana biasa dan tidak biasa. Ada pun kebiasaan silibus tempatan yang menekankan hafalan hukum-hukum berkaitan solat, ia tidak dapat disebut sebagai “Fiqh Solat” tetapi lebih kepada “Hafazan Solat”. 

Al-Awlawiyat berasal dari perkataan “Awla” yang bermaksud utama, unggul dan penting. Apabila dihubungkan menjadi Fiqh al-Awlawiyat, ia bermaksud kefahaman dalam membezakan hukum ke arah yang lebih utama, lebih unggul dan lebih penting. Secara ejaan, Fiqh al-Awlawiyat tidak wujud di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, akan tetapi secara maksud dan konsep, ia wujud secara jelas di dalam kedua-dua sumber mulia tersebut. 

Dalam perbicaraan Fiqh al-Awlawiyat, para pembaca juga perlu beramah mesra dengan dua istilah yang lazim digunakan, iaitu maslahat dan mafsadat. Secara mudah, maslahat ialah kebaikan atau faedah manakala mafsadat ialah keburukan atau kerosakan. Setiap sesuatu yang dilarang oleh syari‘at sebagai haram atau makruh pasti memiliki sesuatu mafsadat yang ingin dijauhkan. Manakala setiap sesuatu yang disuruh oleh syari‘at sebagai harus, sunat atau wajib pasti memiliki sesuatu maslahat yang ingin dicapai.


Dalam menilai sesuatu yang penting:

1        Mengutamakan kemaslahatan yang diyakini terjadinya berbanding dengan kemaslahatan yang belum diyakini terjadi.
2        Mengutamakan kemaslahatan yang besar berbanding dengan kemaslahatan yang kecil.
3        Mengutamakan kepentingan orang ramai dan jemaah berbanding kepentingan individu.
4        Mengutamakan kepentingan golongan yang lebih banyak dari golongan yang sedikit.
5        Mengutamakan kepentingan yang bersifat kekal berbanding dengan kepentingan bersifat sementara.
6        Mengutamakan kepentingan yang bersifat mendasar berbanding dengan kepentingan bersifat sampingan dan pinggiran.
7        Mengutamakan kepentingan yang bersifat masa depan yang kuat berbanding dengan kepentingan sekarang yang lemah.

Dalam menilai sesuatu yang merosakkan, terdapat usul fiqh yang sangat jelas iaitu:
  1. Dilarang menyebabkan timbulnya kemudaratan dan dilarang membalas balik kemudaratan kepada orang lain.
  2. Kemudaratan mesti dihalangi mengikut kemampuan.
  3. Kemudaratan tidak boleh dihalangi oleh kemudaratan yang sama atau lebih besar daripada kemudaratan yang sedia ada.
  4. Apabila terpaksa memilih antara dua yang memudaratkan, maka hendaklah pilih yang kurang dan kecil akibatnya.
  5. Untuk menghalangi kemudaratan yang lebih besar, dibolehkan untuk melakukan kemudaratan yang lebih kecil.
  6. Untuk menghalang kemudaratan yang melibatkan orang ramai, dibolehkan melakukan kemudaratan yang menimpa individu.
*Baca dengan lebih lanjut dalam :

Comments

Popular Posts