# Erti Cinta Dari Dua Jiwa
Sinar suria tersenyum di dada langit.
“Jika rasa kecewa,
Alihkan pandangan ke arah sungai,
Airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya.
Dan jika rasa sedih,
Alihkan pandangan ke arah langit,
Sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu"
Aku mendongak menatap ciptaan Tuhan di atas kepala. Tapak tangan menutupi sedikit bahagian muka menghalang silau yang menusuk pandangan. Awan berarak perlahan menyaingi satu sama lain. Sekawan beburung yang membentuk satu garisan lurus membelah awan.
Aku tertawa kecil dek kelucuan. Teringat perbarisan ketika di zaman sekolah rendahnya. Tersama pula. Kala itu, semua indah belaka. Kenangan di denda ataupun dimarahi pun kadang menjadi topik perbualan yang menggelikan hati. Hati masih bersihlah katakan. Imbasan masa lalu tidak mungkin berputar kembali. Ia menjadi lipatan sejarah diri.
“Dan, apa pun nikmat yang ada pada kamu sekalian, maka datangnya dari Allah”
[An-Nahl: 53]
Aku menghayun perlahan kaki di bangku kayu kecil yang terletak di tepi tasik buatan. Helah masih terasa dek perlumbaan sebentar tadi. Tiga orang teman rapatku masih jauh berlengah-lengah di laluan pejalan kaki. Sayup-sayup saujana mata memandang. Aku melambai-lambaikan tangan memberi isyarat.
Beberapa pelajar siswi yang melintasiku menoleh sekilas. Aku menundukkan sedikit kepala tanda hormat. Sesekali kami berbalas senyum. Pakaian tshirt muslimah yang tersarung di tubuh tampak sempurna menutup aurat. Bagiku suasana sebegitu bukanlah satu tarikan yang janggal bagi penuntut Nilam. Malah rata-rata pelajar antarabangsa juga mengenakan pakaian yang sama. Kadang lebih longgar dan labuh dari pelajar Malaysia.
“Mungkin tradisi mereka”, telahku.
Angin petang mengibarkan hujung kerudung pashminaku. Suasana hijau yang di kelilingi pohon rhu mendamaikan pengunjungnya. Dekorasi taman rekreasi menarik perhatianku untuk menjamah persekitarannya. Tembok kayu yang diukir corak flora di hujung tasik dijadikan temapt fotografi. Pernah juga aku melihat pasangan pengantin merakamkan foto hari bahagia mereka di situ.
Batu yang tadi dikutip dari atas
tanah aku campakkan satu persatu ke dalam tasik. Kocakan kecil terhasil di
pinggirnya. Sesekali terpercik mengenai kaki seluarku. Kata teman, dahulu tasik
itu berasal dari sebatang sungai. Tidak aku tahu sejauh mana kebenarannya.
Walaupun peminat sejarah, tidaklah aku berminat hendak mengkaji faktanya. Apa
yang kutahu, aku telah jatuh cinta dengan taman ini. Rekabentuk hasil sentuhan
arkitek muda berjaya menawan pandangan orang visual sepertiku.
“Andai senibina manusia dah indah, apatah lagi hasil sentuhan Tuhan kan? Hmmm..”
Kadang aku rasa terpukul dengan emosi sendiri. Saat ini jiwaku tidak setenang panorama di sekelilingku. Malah kocakannya lebih hebat dari lontaran batunya tadi. Peristiwa yang berlaku dua minggu yang lalu memberi kesan mendalam padaku dalam diam. Pemergian ibuku seakan menyentap semangat yang dahulu kebal dari jasadku. Tangisan yang jarang mengalir dari tubir mataku kini menjadi teman setia saban malam.
"Alihkan pandangan mata ke arah laut,
Airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan.
Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya.
Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa,
Tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupan.”
Bagi orang kampung sepertiku, keakraban sesama keluarga sememangnya satu nikmat yang adakalanya jarang dikecapi insan di bandar. Kesibukan di kota merenggut kebahagian kerajaan kecil di rumah. Kediaman hanya dijadikan tempat melepaskan lemah setelah penat bertugas sehari suntuk di luar. Cahaya cinta seakan sirna ditelan kekalutan urusan harian. Tidak kunafikan ada masyarakat desa yang seakan sama. Kesempitan yang menghimpit, dijadikan alasan untuk terus meratap nasib dan pemusnah kasih antara satu sama lain.
“Dulu kami seperti pengantin baru di bawah pohon,
Saling membahagi kebahagiaan dalam suasana keremajaan,
Namun kemudian waktulah yang memisahkan kami,
Waktu jualah yang memisahkan kekasih hati” –syair

Padanya ada tanda lahir kami semua. Nasihat mereka kadang seakan angin lalu sahaja. Aku tertunduk sesal setiap kali mengingatinya. Almaklum kenakalanku acapkali mencari usikan jiran tetangga kepada mama papa.
Semakin meningkat remaja aku mulai perasan tangan mamaku selalu kelihatan pucat. Seakan darah merah terhenti di pembuluhnya. Entah pakai teori sains mana aku pakai. Pernah ketika menanda kertas jawapan muridnya, mama mengadu rasa bisa yang menyerang urat saraf di lengannya. Aku yang kurang mengerti hanya mengangguk. Pergelangan mama kuusap kemudian menghembuskannya dengan selawat syifa’. Setiap kali mama papaku sakit, semakin menunjal-nunjal resah dadaku yang tersembunyi sendu.
Aku menongkat daku memerhati dua ekor itik berenang di tepian tasik. “Tengah memadu asmara ke tuh?”, usikku berbaur nakal. Terhibur seketika memerhati keduanya. Mama selalu berpesan, cinta yang utama hanya pada Yang Esa. Tiada mana-mana cinta yang dapat mengatasinya. Kerana terlalu kasih kepada mama, buat aku lupa itu adalah hak milik Sang Pencintanya yang sejati.
DIA hanya meminjamkan segala kesayanganku sementara cuma. Menghirup sejenak indahnya perasaan saling mencintai, menjaga dan mencurahkan rasa. Mungkin DIA cemburukan aku. Meletakkan seluruh perasaan dan harapanku pada makhluk. Setitis air mata yang mengalir kusapu pantas. Tidak mahu ia menjadi tumpuan.
“Tidak ada sesuatu yang lebih cemburu selain daripada Allah.
Untuk itu Dia mengharamkan pelbagai kekejian yang nampak mahupun yang tersembunyi.
Dan, tidak seorangpun lebih mencintai pujian selain daripada Allah. Untuk itu Dia memuji DiriNYA.”
–HR Abdullah bin Mas’ud
Comments