# Mengertikah Aku (Nuzul Al-Quran)


BELENGGU. Fitrah manusia tidak lari dari mehnah. Setinggi mana pangkatnya, serendah mana martabatnya, sedekat mana dengan Tuhannya, sejauh mana iman di hatinya tetap akan diuji. Lalu situ akan terjawab siapa insan di sisi Pencipta mereka. Begitulah jua aku. Sehingga satu tika cetusan larva mulai menyala kembali.

            Lemahnya… lemahnya.. lemahnya rasa iman kala ini. Rasa bergelora kadang hadir tanpa sebab munasabah. Entah ke mana hilangnya sifat tenang yang dipupuk selama ini. Sirna. Nafsu amarah seakan mula muncul kembali. Darah keturunan pahlawan yang mengalir di tubuh berkocak deras. Benar-benar menduga sabar yang kian menipis saban hari. Senipis kulit bawang.

"Bukanlah orang yang kuat itu yang dapat membanting lawannya, kekuatan seseorang itu bukan diukur dengan kekuatan tetapi yang disebut orang kuat adalah orang yang dapat menahan hawa nafsunya pada waktu marah." 

-sabda Rasul Tercinta

    Terkumat-kamit mulutnya mengucapkan istighfar. Risau andai terbias di luar batas. Bukan. Sungguh ini bukan diri yang ditarbiah dahulu. Jauh sekali dari ketenangan yang pernah menyeliputi rasa. Ada sesuatu yang cuba mempengaruhi gerak geri. Saki mazmumah. Masalah yang datang bertimpa-timpa bagai menyimbahkan lagi minyak ke bara jiwa. Pantang ada dugaan sedikit pasti suhunya meninggi.

    Gemersik alunan suara yang melantun dari kaca televisyen tiba-tiba menyentakkan sejuta rasa. Taranum yang berlagu merdu menusuk sukma yang kian kosong. Pesona tertib bacaan & tajwid si qari meruntun sanubari yang kelam. Genggaman tangan terlerai. Geram yang bermaharajalela hilang sekelip mata. Melurut jatuh sekujur tubuh di pinggir sofa hitam metalik. Seperti inikah berderai perasaan Umar Al-Khattab saat terdengar bacaan kalam suci dari adiknya Fatimah?

طه (١) مَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَى (٢) إِلا تَذْكِرَةً لِمَنْ يَخْشَى (٣) تَنْزِيلا مِمَّنْ خَلَقَ الأرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلا (٤) الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى (٥) هُ

    Setitis mutiara jernih gugur ke pipi. Menjadi saksi berderainya ego seorang hamba. Basah wajah menahan sendu. Lemah. Cuma kali ini bukan imannya yang lemah. Nafasnya yang lemah. Jika tadi derunya seakan ingin meletuskan peluru amarah, kini hembusannya teratur sekali. Betapa mukjizat terakhir itu punya magik. Luluh hati insan kala di sapa ayat-ayat cintaNYA. Biarpun di dalam bahasa berbeda, menatapnya sahaja sudah diselitkan pahala. Apatah lagi tika lisan menutur satu-persatu hurufnya.

”Jika ingin berbicara dengan Tuhan, 
Solatlah.
Jika ingin Tuhan berbicara dengan kamu, 
Quranlah.”

      Kini aku mengerti. Tiada jalan di dunia dihamparkan permaidani merah semata. Ada sesekali duri & ranting menjadi hiasan laluan. Mungkin telah terlalu lama di daerah selesa. Selalu sahaja manusia lain menjadi sandaran & tempat aduan. Lalu DIA datangkan musibah agar kembali berpaut pada dahan tawakal padaNYA. Tika dulu kita meminta untuk menjadi seteguh pepohon, pasti kini DIA pasti datangkan angin musim musibah.

“Andai tidak dapat menjadi sekuat hujan,
Yang menyatukan bumi & langit,
Jadilah seperti doa,
Yang menyatukan harapan & takdir”.

Ramadhan Kareem.
Catatan Sempena Nuzul Al-Quran 1438h.


Comments

Popular Posts